December 11, 2013

Hanyut Dalam Bicara Cinta



Hukama’ menyebut “jangan terlalu menyayangi seseorang, kelak kita akan membencinya. Jangan pula terlalu membenci seseorang, kelak kita akan menyayanginya”.

            Terkadang pelik dengan trend hari ini yang terlalu banyak berbicara tentang cinta. Ya, soal pembinaan keluarga. Tapi terkadang berlebihan hingga pandangan untuk pembinaan keluarga itu terlalu tinggi dan tumpuan masa juga tinggi di rumah. Bagi penggerak masyarakat, aktivitis dakwah dan harakah, kita perlu berada di lapangan, bukan di dalam rumah. Pandangan yang terlalu tinggi juga boleh menyebabkan seseorang ‘frust’, sakit hati setelah berkahwin. Bahkan ada yang bercerai-berai hingga membenci walaupun ‘Mr. Right and Mrs. Right person’.

            Cukuplah keluarga sebagai penyejuk mata bukan berkurung di rumah dan janganlah terlalu larut dalam alam percintaan. Sekiranya mengamati kisah-kisah sejarah tentang para sahabat Rasulullah s.a.w yang sanggup menceraikan isteri untuk membantu kaum muhajirin. Juga dalam perjalanan hidup para sahabat, berapa kali berkahwin, berpoligami dan berapa kali bercerai tetapi tidak meruntuhkan institusi kekeluargaan dan masyarakat.

            Namun, dunia kekeluargaan hari ini berbeza dengan zaman Rasulullah s.a.w. Di mana manusia kini lebih mementingkan nafsu dan sanggup lari dari medan dakwah demi nilai cinta hanya kepada manusia semata-mata. Ruginya masyarakat hari ini yang hanyut dalam soal cinta dan bukan soal pembangunan masyarakat, soal bagaimana untuk bangunkan ekonomi, politik, ummah dan meneroka bidang baru, bagaimana melahirkan tokoh dan negarawan.


            Cukuplah berwacana di universiti soal cinta, mungkin lebih baik fokuskan sesuatu perbincangan kearah sesuatu yang lebih serius dan mementingkan keintelektualan. Sebagai hamba kepada sang Pencipta, kita tidak perlu hanyut dalam bicara cinta semata-mata. Tetapi perlulah seiring dengan amalan-amalan yang dapat dibawa bekalannya ke alam akhirat kelak. Pentingnya disini, seorang hamba haruslah mentaati segala perintah Allah s.w.t dan meninggalkan larangaNya. 


December 1, 2013

Makbulkah Doaku~


Doa merupakan tanda pergantungan, pengharapan dan permohonan seorang hamba kepada Allah s.w.t. Dalam Islam, doa dipohon hanya kerana Dialah yang Maha Agung, tiada yang lain yang boleh menerima apa yang dipohon, dihajat dan didambakan.
            Doa juga simbolik kepada jalinan yang hebat menghubungkan hamba dengan Tuhan. Itulah tanda pengabdian diri yang mutlak dan pengiktirafan hamba. Dalam ayat ke-5 surah al-Fatihah, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud : “ Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan”. Dengan itu, sungguh tidak layak bagi kita untuk memohon kepada yang lain daripada Allah s.w.t kerana perbuatan meminta atau berdoa selain daripada Allah s.w.t itu adalah syirik iaitu menyekutukan Allah s.w.t. Juga elakkan berdoa kepada sesuatu yang mungkar dan maksiat yang terkeluar daripada syariat Islam.
            Sudah menjadi lumrah manusia meminta pertolongan Tuhan hanya ketika berada dalam keadaan terdesak. Perkara ini disebut secara jelas menerusi beberapa tempat dalam al-Quran. Dalam waktu kritikal, hati kecilnya akan berbisik meminta ihsan Tuhan, walaupun sebelumnya dia seorang komunis atau atheis, yang tidak beriman dengan kewujudan Tuhan. Keadaaan ini dijelaskan dalam beberapa firmanNya. Antaranya dalam surah al-Rum ayat 33 yang bermaksud : “Apabila manusia ditimpa kemelaratan, manusia berdoa kepada Tuhannya dalam keadaan bersungguh-sungguh kembali kepadaNya. Kemudian apabila diberi ruang mengecapi rahmat daripadaNya, tiba-tiba satu golongan dalam kalangan mereka mempersekutukan Tuhan.”

            Dapatlah disimpulkan bahawa doa merupakan ibadah. Menerusinya, seseorang hamba mampu menggamit rahmat Allah s.w.t agar dikurniakan kepadanya. Justeru itu, permohonan kepada Allah s.w.t hendaklah disertai dengan ikhtiar atau usaha. Tanpanya, permohonan itu hanyalah suatu impian yang tidak akan membuahkan sebarang hasil. Akhirnya, Doa itu adalah zikrullah. Memulakan sesuatu tanpa memohon izin Tuhan sekalian alam bererti kita ini makhluk yang sombong dan bongkak.