Doa merupakan tanda pergantungan, pengharapan
dan permohonan seorang hamba kepada Allah s.w.t. Dalam Islam, doa dipohon hanya
kerana Dialah yang Maha Agung, tiada yang lain yang boleh menerima apa yang
dipohon, dihajat dan didambakan.
Doa
juga simbolik kepada jalinan yang hebat menghubungkan hamba dengan Tuhan.
Itulah tanda pengabdian diri yang mutlak dan pengiktirafan hamba. Dalam ayat
ke-5 surah al-Fatihah, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud : “ Engkaulah
sahaja kami memohon pertolongan”. Dengan itu, sungguh tidak layak bagi kita
untuk memohon kepada yang lain daripada Allah s.w.t kerana perbuatan meminta
atau berdoa selain daripada Allah s.w.t itu adalah syirik iaitu menyekutukan
Allah s.w.t. Juga elakkan berdoa kepada sesuatu yang mungkar dan maksiat yang
terkeluar daripada syariat Islam.
Sudah
menjadi lumrah manusia meminta pertolongan Tuhan hanya ketika berada dalam
keadaan terdesak. Perkara ini disebut secara jelas menerusi beberapa tempat
dalam al-Quran. Dalam waktu kritikal, hati kecilnya akan berbisik meminta ihsan
Tuhan, walaupun sebelumnya dia seorang komunis atau atheis, yang tidak beriman
dengan kewujudan Tuhan. Keadaaan ini dijelaskan dalam beberapa firmanNya. Antaranya
dalam surah al-Rum ayat 33 yang bermaksud : “Apabila manusia ditimpa
kemelaratan, manusia berdoa kepada Tuhannya dalam keadaan bersungguh-sungguh
kembali kepadaNya. Kemudian apabila diberi ruang mengecapi rahmat daripadaNya,
tiba-tiba satu golongan dalam kalangan mereka mempersekutukan Tuhan.”
Dapatlah
disimpulkan bahawa doa merupakan ibadah. Menerusinya, seseorang hamba mampu
menggamit rahmat Allah s.w.t agar dikurniakan kepadanya. Justeru itu,
permohonan kepada Allah s.w.t hendaklah disertai dengan ikhtiar atau usaha.
Tanpanya, permohonan itu hanyalah suatu impian yang tidak akan membuahkan
sebarang hasil. Akhirnya, Doa itu adalah zikrullah. Memulakan sesuatu tanpa
memohon izin Tuhan sekalian alam bererti kita ini makhluk yang sombong dan
bongkak.
No comments:
Post a Comment