Sebuah platform kepada mahasiswi khususnya : Melahirkan siswi yang lebih dinamik dan sarat dengan prinsip serta tidak goyah dengan sebarang cabaran. like page Siswi : Be Inspired
Program Motivasi @ Kepimpinan bersama adik-adik Sekolah Menengah dari Kulim, Kedah yang dikendalikan kami berempat, wakil PM Ukm. Memberi pendedahan dan perkongsian berkaitan dunia Universiti hari ini.
Dalam slot "Aku yang sekarang, bukan yang dulu", aku memberi perkongsian pengalaman bagaimana diri menjadi "aku yang hari ini". Mereka punyai matlamat dan aku percaya jalan cerita mereka lagi menarik bermula hari ini. Good luck adik-adik !
Bismillah, Alhamdulillah selesai sudah Pelancaran Pentas Pidato Mahasiswa anjuran PM Ukm yang bertempat di ruangan Sudut Pidato UKM. Sudut pidato UKM yang kian suram ini cuba dihidupkan kembali rohnya agar menjadi sebuah medan buat mahasiswa melontarkan idea dan komentar seiring menyambut hasrat Naib Canselor UKM yang menginginkan Graduan yang beraspirasi kebangsaan, kompeten dan berdaya saing. Sehubungan itu, Sudut Pidato ini dihidupkan semula dengan berpandukan beberapa objektif utama iaitu ingin meraikan perbezaan idealisme dalam kalangan mahasiswa dan melahirkan mahasiswa yang berkompeten.
Pelancaran pada hari ini berjalan dengan lancar dan saya mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah buat 4 orang wakil mahasiswa kerana berani untuk tampil kehadapan memberikan pidato ringkas dan beberapa cadangan telah diutarakan oleh mereka. Terima kasih juga diucapkan kepada Yang Dipertua PMUKM, saudara Muhammad Sallehudin Khalid diatas perasmian Pentas Pidato Mahasiswa pada hari ini. Sekalung penghargaan juga buatIzwatul Jannah Abd Latif dan Syimah Ibrahim yang merupakan penggerak bersama dalam menjayakan Pentas Pidato Mahasiswa ini. Harapan saya agar Sudut Pidato Mahasiswa ini akan terus menjadi sudut aktif buat mahasiswa mencorakkan identiti diri sebagai seorang mahasiswa yang mempunyai pendirian tersendiri. Kerana mahasiswa merupakan generasi emas yang bakal mencorak masa depan negara. Sudut pidato ini juga bukan sebuah platform untuk berpolitik semata-mata, namun ini juga merupakan medan buat seluruh mahasiswa berkongsi kepelbagaian ilmu di bumi UKM ini sendiri. Pentas Pidato Mahsiswa : Raikan perbezaan idealisme "Memperkasa Mahasiswa, Meneraju Varsiti" #speakercorner#LetsMakeHistory#pmukm#ukm#sudutpidato Siti Nor Bahijah Mohd Zaki MPP Umum 3/4
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
11 Mac 2015, alhamdulillah selesai memberikan sedikit perkongsian mengenai "Aurat wanita" dalam program Diskusi Wanita anjuran Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM. Bergandingan bersama artis jemputan Yatt Hamzah dalam diskusi ini memberikan pengalaman baru dan keterujaan hati untuk bersama orang hebat dapat terlaksana. Alhamdulillah. Perkongsian pengalaman Yatt Hamzah merantau dunia Islam dalam mencari dan melihat ciptaan Allah swt amat memberikan kesan buat diri. Bilakah diri ini dapat menjejaki Bumi Palestin, Syria, ? Mungkin diri ini belum kuat menggapai impian setinggi itu. Cukup menjadi seorang anak dan wanita solehah buat umi abah. Diskusi wanita semalam, banyak diceritakan mengenai aurat wanita, bolehkah wanita berfesyen?, bagaimana istiqomah dalam menutup aurat?. Alhamdulillah, persoalan-persoalan ini dapat dirungkai dan dikongsi bersama sahabat-sahabat UKM. walaupun tidak sebaik ustazah-ustazah diluar, moga memberikan manfaat buat pendengar. :') Fitrah bermaksud semulajadi. Oleh itu, menutup aurat sama ada lelaki dan wanita itu adalah satu perkara yang semulajadi. Ia juga menjadi kayu ukur keimanan, pembeza antara hamba yang taat dengan insan yang derhaka. Namun tidak kurang juga yang menyangkal dan membangkang, membawa hujah bahawa keimanan letaknya dalam dada, bukan pada penampilan luaran yang boleh dinilai oleh mata.
Aurat Wanita Muslim : “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (An Nur:31)
Ramai wanita muslim hari ini tidak mengambil berat dengan memakai pakaian menutup aurat dengan sempurna. Ramai di antara mereka lebih suka dan terpengaruh dengan ciri-ciri pakaian yang berfesyen semasa terutama fesyen yang datangnya daripada barat.
Islam tidak melarang jika sekiranya wanita muslim ingin menggunakan fesyen terkini di zaman moden ini tetapi pakaian tersebut biarlah digunakan daripada kain yang tidak terlalu nipis dan reka bentuk pakaian tersebut mestilah menutup seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan , tidak terlalu ketat hingga menampakkan bentuk tubuh badan.
Corak dan warnanya perlulah sederhana tidak terlalu cerah hingga mendatangkan daya tarikan kepada orang yang melihatnya. Banyak lagi huraian mengenai aurat wanita kalau hendak dibincangkan pasti mengambil banyak masa. Semoga perkongsian yang sedikit ini bermanfaat.
"Siswi, Malumu bernilai, Katamu berhikmah, Hatimu tulus suci dan murni, Hanya diri yang halal, Engkau serahkan segala, Untuk mencari redha Allah swt"
Thanks kepada semua yang hadir. Kalian memang vogue !
Tawakal satu ibadah hati paling utama dan akhlak iman paling agung HIDUP tidak sunyi daripada berdepan masalah. Yang membezakannya hanya jenis masalah itu tidak sama antara seorang dengan seorang. Seseorang itu mungkin berdepan masalah besar menentukan hidup atau mati perniagaannya pada masa depan, manakala yang lain hanya sekadar mendapatkan rumah untuk dibeli. Apa juga keadaan, mereka perlu mencari jalan menyelesaikannya. Masalah tidak akan selesai jika hanya berdiam diri berpeluk tubuh. Kejayaan atau kegagalan bergantung sejauh mana usaha dilakukan. Selepas puas berusaha keras dengan pelbagai cara dan kaedah untuk menyelesaikan masalah, mereka boleh berserah kepada Allah iaitu bertawakal kepada Allah. Tawakal satu ibadah hati paling utama dan akhlak iman paling agung. Seorang ulama menyatakan tawakal ialah percaya kepada Allah dan hanya kepada Dialah kita mengharapkan segala sesuatu, bukan kepada siapa pun. Imam al-Ghazali menyatakan tawakal satu manzilah (keberadaan) bagi orang beriman, bahkan tawakal darjat muqarrabin atau orang yang dekat dengan Allah. Ali al Qari pula menyebut tawakal adalah mengetahui dan yakin tidak ada yang mampu berbuat dalam alam ini kecuali atas kehendak Allah. Abu Ali Ad-Daqqaq berkata, tawakal itu ada tiga tingkatan. Tawakal itu sendiri, kata Abu Ali Ad-Daqqaq:“Berserah diri, kemudian pasrah. Orang bertawakal berasa tenang kerana ada janji daripada Allah, orang berserah diri cukup dengan pengetahuan mengenai Allah dan orang pasrah reda terhadap hikmah Allah. Tawakal adalah permulaan, berserah diri adalah pertengahan dan pasrah adalah penghabisan.” Kata Abu Ali Ad-Daqqaq lagi: “Tawakal sifat orang mukmin, berserah diri adalah sifat wali dan pasrah adalah sifat muwahhidin. Tawakal sifat orang awam, berserah diri sifat orang khusus dan pasrah sifat orang lebih khusus lagi. Tawakal ialah sifat nabi, berserah diri ialah sifat Ibrahim dan pasrah sifat Nabi Muhammad.” Orang yang tawakal selalu menggantungkan diri dan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah. Mereka sentiasa berlapang dada dan tidak resah bila dibelit masalah. Mereka tidak cepat berputus asa, sebaliknya sentiasa yakin dan percaya kepada kemampuan diri sendiri. Mereka hanya berserah (tawakal) kepada Allah selepas segala usaha dan ikhtiar dilakukan. Mereka bertawakal kepada Allah kerana mereka mempunyai perasaan kuat Allah Yang Maha Pemberi segala-galanya. Allah memberi rezeki, memberi kejayaan, memberi kepandaian, memberi kesenangan, memberi keselamatan dan semuanya datang daripada Allah. Kita hanya berusaha mencari dan mendapatkannya. Dalam al-Quran Allah berfirman bermaksud: “Dan percayalah (tawakallah) dirimu kepada Allah, jika kamu betul-betul beriman.” (Surah al-Maidah ayat 23). Allah sangat mencintai hamba-Nya yang bertawakal. Dan Allah akan memberikan jalan keluar serta akan memberikan rezeki yang datang tanpa disangkanya. Dengan kata lain, mereka (orang tawakal) tanpa gusar yakin terhadap ketentuan dan kekuasaan Allah hingga menyerahkan segenap permasalahan kepada-Nya semata. Allah berfirman bermaksud: “Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki-Nya). Sesungguhnya Allah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.” (Surah Ath Thalaq ayat 3). Dalam bukunya Para Kekasih Allah, Abdillah F Hasan berkata dalam al-Quran tidak kurang dari 40 ayat membahas masalah tawakal, baik dalam bentuk perintah mahupun keutamaan bagi hamba mampu melaksanakannya. Yusuf al Qaadhawi dalam kitabnya Ath Thariq Ilalah, At Tawakal mengungkapkan mengenai keistimewaan disandang hamba Allah bertawakal kepada-Nya, iaitu timbul ketenteraman jiwa, kekuatan jiwa (kekuatan spiritual), kewibawaan, keredaan dan percaya diri. Orang beriman yakin akan pertolongan Allah. Allah tidak akan membiarkan orang berjuang di jalan-Nya. Allah tetap menolong mereka, cuma cepat atau lambat saja. Orang yang mantap dan teguh imannya tidak ragu-ragu dengan janji Allah ini. Mereka penuh yakin Allah tidak mengingkari janji kerana mereka tahu dan ingat keagungan Allah, kesempurnaan ilmu-Nya dan kudrat-Nya. Allah ingat kepada hamba-Nya yang tidak pernah lupa mengingati-Nya di mana-mana. Firman Allah dalam al-Quran bermaksud: “Dan Kami selalu berkewajipan menolong orang-orang yang beriman.” (Surah Ar-Rum ayat 47) Sumber : Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir