Hukama’ menyebut “jangan terlalu menyayangi
seseorang, kelak kita akan membencinya. Jangan pula terlalu membenci seseorang,
kelak kita akan menyayanginya”.
Terkadang
pelik dengan trend hari ini yang terlalu banyak berbicara tentang cinta. Ya,
soal pembinaan keluarga. Tapi terkadang berlebihan hingga pandangan untuk
pembinaan keluarga itu terlalu tinggi dan tumpuan masa juga tinggi di rumah.
Bagi penggerak masyarakat, aktivitis dakwah dan harakah, kita perlu berada di
lapangan, bukan di dalam rumah. Pandangan yang terlalu tinggi juga boleh
menyebabkan seseorang ‘frust’, sakit hati setelah berkahwin. Bahkan ada yang
bercerai-berai hingga membenci walaupun ‘Mr. Right and Mrs. Right person’.
Cukuplah
keluarga sebagai penyejuk mata bukan berkurung di rumah dan janganlah terlalu
larut dalam alam percintaan. Sekiranya mengamati kisah-kisah sejarah tentang
para sahabat Rasulullah s.a.w yang sanggup menceraikan isteri untuk membantu
kaum muhajirin. Juga dalam perjalanan hidup para sahabat, berapa kali
berkahwin, berpoligami dan berapa kali bercerai tetapi tidak meruntuhkan
institusi kekeluargaan dan masyarakat.
Namun,
dunia kekeluargaan hari ini berbeza dengan zaman Rasulullah s.a.w. Di mana
manusia kini lebih mementingkan nafsu dan sanggup lari dari medan dakwah demi
nilai cinta hanya kepada manusia semata-mata. Ruginya masyarakat hari ini yang
hanyut dalam soal cinta dan bukan soal pembangunan masyarakat, soal bagaimana
untuk bangunkan ekonomi, politik, ummah dan meneroka bidang baru, bagaimana
melahirkan tokoh dan negarawan.
Cukuplah
berwacana di universiti soal cinta, mungkin lebih baik fokuskan sesuatu
perbincangan kearah sesuatu yang lebih serius dan mementingkan keintelektualan.
Sebagai hamba kepada sang Pencipta, kita tidak perlu hanyut dalam bicara cinta
semata-mata. Tetapi perlulah seiring dengan amalan-amalan yang dapat dibawa
bekalannya ke alam akhirat kelak. Pentingnya disini, seorang hamba haruslah
mentaati segala perintah Allah s.w.t dan meninggalkan larangaNya.