August 16, 2010

AHLAN WASAHLAN WAMARHABAN YA RAMADHANPrint
Image Kalimah di atas mula meniti bibir umat Islam apabila menjelangnya bulan Ramadhan. Ucapan penghormatan ini keluar dari lubuk sanubari kita yang bakal diasah, dibangun, diasuh dan dididik sepanjang bulan Ramadhan. Kita akan memasuki madrasah Ramadhan dan bakal menerima tarbiah Ramadhan yang berlangsung sepanjang Ramadhan. Rasulullah SAW ketika menyambut ketibaan Ramadhan ada bersabda yang bermaksud:"Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, penghulu segala bulan, selamat datang Ramadhan...." (Riwayat Baihaqi) Kalimah itu begitu popular di kalangan masyarakat arab yang menggambarkan pernyataan gembira dengan kedatangan bulan Ramadhan yang penuh kemuliaan dan keberkatan.Umpama seorang kekasih yang telah lama tidak menemui pasangannya, maka apabila ia bertemu buat kesekian kalinya, maka ia sudah tentu akan menuturkan dan meluahkan kata-kata indah yang menggambarkan kecintaan dan kegembiraannya . Itulah gambaran luahan kalimah di atas bagi umat Islam yang diangkat sebagai umat istimewa hingga dianugerahkan bulan khas untuk mereka iaitu Ramadhan sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Rejab itu bulan Allah, Syaaban itu bulanKu dan Ramadhan itu bulan umatKu”

Ramadhan merupakan bulan kesembilan dalam taqwim Islam. Ramadhan bermakna panas yang secara simboliknya bermaksud membakar nafsu-nafsu yang ganas agar mudah dibentuk dan dibelai mengikut aturan Islam. Terlalu banyak keistimewaan yang terdapat dalam bulan Ramadhan baik dari sudut amalan atau peristiwa. Sebab itu ia sangat dirindui dan dinanti oleh orang-orang beriman dimana ia merupakan kesempatan terbesar kepada sesiapa yang ingin mendapat keampunan dan ganjaran pahala yang tiada tolok bandingnya sebagai umat Nabi Muhammad SAW.

1. Puasa bulan Ramadhan

Tuntutan puasa ini yang mula disyariatkan pada tahun kedua hijrah wajib bagi setiap umat Islam yang mukallaf. Hanya terdapat kelonggaran terhadap beberapa individu yang ditentukan seperti wanita yang mengandung atau sakit tua demi memberi gambaran bahawa Islam itu mudah dan sederhana serta tidak menyusahkan.Allah Taala berfirman dalam surah Al Baqarah ayat 183 – 184 yang bermaksud:”Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu semoga kamu bertaqwa.(puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang ditentukan, maka sesiapa diantara kamu yang sakit atau dalam musafir(bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak(hari yang dibuka)itu pada hari-hari yang lain dan wajib atas orang yang tidak berdaya puasa(kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan fakir miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah satu kebaikan baginya dan (walaupun demikian)berpuasa itu lebih baik bagi kamu(daripada membayar fidyah) kalau kamu mengetahui.”

Lebih istimewa lagi bahawa ganjaran puasa itu ditentukan sendiri pahalanya oleh Allah SWT sebagaimana sepotong hadis qudsi:”Setiap amalan anak Adam adalah tertentu untuk dirinya sendiri melainkan puasa, sesungguhnya amal puasa itu adalah untuk Aku dan Aku yang akan membalas amalan ibadah ini”

Oleh sebab itu, Imam Ghazali telah mengkategorikan puasa itu kepada tiga iaitu puasa umum, puasa khusus dan puasa khusul khusus sebagai panduan bagi memudahkan kita meletakkan darjah puasa kita.

2. Solat tarawikh

Satu lagi ibadah yang termasuk dalam perkara sunat muakkad dan tidak berlaku dalam bulan lain ialah solat tarawikh. Boleh dilakukan secara ifradi atau berjemaah. Dilakukan selepas solat sunat Isyak sehingga naik fajar. Sabda Rasulullah SAW:”Sesiapa yang mendirikan malam bulan Ramadhan(dengan amal ibadat) kerana percaya dengan janji Allah dan ikhlas untuk mendapat pahala kerana Allah, nescaya diampunkan baginya dosa-dosa yang lalu” (riwayat Bukhari dan Muslim)

Walaupun terdapat khilaf tentang bilangan rekaat dalam solat tarawikh, jumhur ulamak menyatakan solat tarawikh itu dua puluh rekaat dan tidak termasuk solat witir. Pada zaman Saidina Umar bin Al Khatab, beliau menghimpunkan satu jemaah solat tarawikh dan diimamkan oleh Ubai bin Kaab. Disebutkan dalam satu riwayat:daripada Abdul Rahman bin Abdul Qari, bahawasanya dia berkata” Pada satu malam bulan Ramadhan, aku keluar ke masjid bersama Saidina Umar Ibni Al Khatab. Didapati bahawa ramai orang yang mengerjakan solat tarawikh secara berasingan dan ada yang mengerjakan solat secara berjamaah dalam satu imam dengan berkelompok-kelompok”. Maka Saidina Umar berkata” Aku berpendapat, sekiranya aku himpunkan mereka mengerjakan solat dengan satu imam, sesungguhnya ia adalah terlebih afdal dan terlebih dekat dengan kebaikan”Kemudian Saidina Umar berazam dan menghimpunkan mereka itu bersolat di belakang Ubai bin Kaab. Kemudian pada satu malam yang lain, aku keluar bersama Saidina Umar ke masjid dan kami melihat orangramai mengerjakan solat tarawih secara berimam kepada seorang imam(Ubai bin Kaab). Lalu Saidina Umar berkata”sebaik-baik Bid’ah ini” (Riwayat Bukhari)

Jelasnya apa yang diperkatakan oleh Saidina Umar boleh diikuti kerana ia termasuk dalam sunnah Khulafa AR Rasyidin sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
”Hendaklah kamu sekalian berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah Khulafa ar Rasyidin selepas peninggalanku”(Riwayat Abu Daud dan At Tirmizi)

3. Nuzul Quran

Bulan Ramadhan juga diingati sebagai bulan turunnya Al Quran. Al Quran merupakan mukjizat agung Nabi Muhammad SAW . Nuzul Quran bermaksud turunya wahyu suci kalam Allah melalui malaikat Jibrail a.s. yang berlaku pada 17 Ramadhan 13 tahun sebelum Baginda berhijrah ke Madinah.Allah Taala berfirman dalam surah Al Baqarah ayat 185 bermaksud:”Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan pertunjuk dan(menjelaskan) perbezaan antara yang benar dan salah.......”

Penurunan Al Quran berfungsi sebagai petunjuk sekalian manusia dalam segenap lapangan kehidupan. Tiada yang tidak benar melainakn pertunjuk belaka.Fungsi kedua merupakan bayinat atau keterangan yang nyata serta tidak boleh didustakan oleh sesiapa jua.Manakala fungsi ketiga adalah furqan iaitu membezakan yang hak dengan batil. Memisahkan yang benar dengan yang salah hingga tiada sesiapa yang mampu untuk membina atau mengubah fakta yang terkandung dalam Al Quran sebagaimana firman Allah dalam surah Al Isra ayat 88 yang bermaksud:”Katakanlah(wahai Muhammad)sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding Al Quran, maka mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya walaupun mereka saling bantu-membantu”

4. Malam Lailatul Qadar

Malam Lailatul Qadar sukar digambarkan ketinggian dan kebesarannya. Malam yang dijanjikan Allah Taala seribu satu keampunan, dilimpahi berkat dan rahmat, dilipatgandakan pahala dan ganjaran sebagaimana Firman Allah dalam surah Al Qdar dari ayat pertama hingga 5.

Perkiraan matematik 1000 bulan adalah bersamaan 83 tahun 4 bulan.Satu tempoh masa yang begitu panjang.. Purata umur umat Muhammad SAW adalah 60an hingga 70an. Amat jarang orang yang berumur 80an apatah lagi di kalangan orang Melayu. Lihatlah dalam satu malam kita sudah dapat menyamai ibadah 83 tahun.

Berbagai pendapat tentang bila malam Lailatul Qadar berlaku. Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW tidak menentukan secara khusus bila berlaku agar umatnya tidak hanya betrtumpu pada satu malam untuk melakukan ibadah. Walaubagaimanapun ulamak secara khusus menggambarkan dua waktu berkemungkinan berlaku Lailatul Qadar iaitu 17 Ramadhan berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:”Carilah malam Al Qadr itu pada malam 17”(Riwayat Abu Daud). Waktu kedua adalah sepuluh malam yang akhir Ramadhan seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam ganjil dalam sepuluh malam yang akhir dari bulan Ramadhan”(Riwayat Bukhari)

Sesungguhnya empat perkara tersebut merupakan antara beberapa perkara istimewa yang berlaku dan dilaksanakan dalam bulan Ramadhan. Terdapat banyak lagi ibadah sunat yang perlu dilakukan bagi merebut ganjaran pahala berlipat kali ganda sepanjang bulan ini seperti berqiyamulail, bertadarus,bersedekah, berzikir dan berzakat.

Marilah kita merebut peluang keemasan ini yang mungkin kita tidak dapat menjangkaunya pada tahun mendatang apabila Allah lebih dahulu menjemput kita menuju ke alam barzakh

No comments: